Rabu, 23 November 2016

Usia Muda

Ketika usia muda, pilihlah jalan yang paling sukar, kerana setiap kesukaran itu memberi pengajaran kepada kita. Biasakan diri ketika usia masih muda dengan hidup penuh cabaran, agar ia menjadi kebanggaan dihari tua kita. Jangan biasakan hidup bersenang lenang, bimbang kalau-kalau kita tua terlalu cepat. Tanda seseorang itu menjadi tua bukan pada usianya, tetapi tua apabila sudah tidak kuat menghadapi kehidupan, mudah mengalah dengan cabaran yang mendatang.

Ketika usia masih muda, berlajarlah tanpa henti, tingkatkan kemahiran diri, sentiasa mahukan lebih dari kemampuan, buatlah lebih daripada yang terbaik. Kerana apabila kita sudah terbiasa melakukan yang terbaik. Barulah kita merasa yg terbaik daripada kita hanyalah biasa-biasa sahaja. Sehingga kita melakukan lebih daripada yang terbaik, barulah kita sedikit kehadapan daripada yang lain. Zaman muda adalah fasa mengasingkan siapakah yang lebih kuat semangat juangnya, ketika sedang berada dipuncak kehidupan masihkah kuat untuk mendaki puncak yg tidak diketahui ketinggiannya, ataupun sudah memadai dengan puncak hidup yang sekarang.

Ketika zaman muda, berhati-hatilah bermain cinta. Benar ada cinta yang membawa ke syurga, ada cinta yang memberi kekuatan. Tapi ada cinta yang melemahkan jiwa. Sia-sia hidup jika hanya memikirkan soal cinta, sia-sia tenaga muda jika digunakan untuk mengejar cinta manusia. Padahal tenaga muda itu boleh mencipta seribu kejayaan. Cuma bagaimana untuk mengawal naluri muda sedemikian? Berdoalah kepada tuhan. bukan untuk menafikan cinta, tetapi supaya tenaga, masa, akal ketika muda digunakan sepenuhnya dengan baik. Tempoh zaman muda tidaklah terlalu panjang, jadi gunakanlah dengan sebaik mungkin.

Pesanan pada diri. Moga kuat menjalani hari-hari yg bakal sukar.

Sabtu, 19 Mac 2016

Kekasih Awal dan Akhir

Penat mengejar cinta, rupanya cinta milik tuhan. Terlalu banyak perkara yang indah  dibumi ini untuk dicintai, sehingga terlupa ia bukan milik kita, bahkan tidak pernah menjadi milik kita.  Kadang-kadang kita terlalu banyak yang berimpian, mengejar kesempurnaan hidup dan mencari kekayaan. Rupanya cinta dunia tidak pernah cukup. Ada perkara yang hanya mampu didengari, tidak mampu dinikmati. Ada lukisan yang cukup indah hanya mampu dilihat, tapi tidak mampu disentuh. Ada insan yang sangat di cintai, tapi tidak mampu dimiliki.

Sehingga satu masa kita hilang sedikit dari yang kita miliki. Barulah sedar dari leka yang panjang. Baru tersentap dari lamunan maya. Barulah sedar bahawa nikmat bertuhan lebih cukup dari segalanya.  Apabila tidak disyukuri nikmat Tuhan, terasa serba kekurangan. Padahal hidup sudah separuh jalan, sudah banyak kurniaan Tuhan diberikan, sudah banyak pencapaian hidup diperolehi. Namun tidak pernah disyukuri. Barangkali demikianlah cinta, terlalu tamak dan rakus, tidak pernah cukup, sentiasa dahaga dan mahukan lebih dari itu. Kembalilah kepada Tuhan, Kekasih Awal dan Akhir.


Dataran Bandung, 2015