Sabtu, 19 Mac 2016

Kekasih Awal dan Akhir

Penat mengejar cinta, rupanya cinta milik tuhan. Terlalu banyak perkara yang indah  dibumi ini untuk dicintai, sehingga terlupa ia bukan milik kita, bahkan tidak pernah menjadi milik kita.  Kadang-kadang kita terlalu banyak yang berimpian, mengejar kesempurnaan hidup dan mencari kekayaan. Rupanya cinta dunia tidak pernah cukup. Ada perkara yang hanya mampu didengari, tidak mampu dinikmati. Ada lukisan yang cukup indah hanya mampu dilihat, tapi tidak mampu disentuh. Ada insan yang sangat di cintai, tapi tidak mampu dimiliki.

Sehingga satu masa kita hilang sedikit dari yang kita miliki. Barulah sedar dari leka yang panjang. Baru tersentap dari lamunan maya. Barulah sedar bahawa nikmat bertuhan lebih cukup dari segalanya.  Apabila tidak disyukuri nikmat Tuhan, terasa serba kekurangan. Padahal hidup sudah separuh jalan, sudah banyak kurniaan Tuhan diberikan, sudah banyak pencapaian hidup diperolehi. Namun tidak pernah disyukuri. Barangkali demikianlah cinta, terlalu tamak dan rakus, tidak pernah cukup, sentiasa dahaga dan mahukan lebih dari itu. Kembalilah kepada Tuhan, Kekasih Awal dan Akhir.


Dataran Bandung, 2015