Ahad, 18 Disember 2011

Aku masih gagal!!kenapa?

entry kali ini ditulis oleh roomate saya, ibn Isnar dan sahabatnya zulhafiz. memandangkan final test ssemakin dekat, sedikit pengisian untuk dibaca oleh sahabat seperjuangan yang lain. Untuk pengetahuan anda, entry ini merupakan buletin surau al-irfan(infinity) yang terakhir tetapi tak sempat untuk dipublish. atas permintaan penulis, saya postkan di sini agar cernaan minda yang dilakukan oleh beliau untuk menulis dapat dikongsi bersama anda.

Aku masih gagal! Kenapa?

Tuah ayam di tajinya, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Berbagai persiapan yang dilakukan bagi menghadapi peperiksaan. Stay-up sampai ke pagi subuh, minum kopi 3-4 cawan, buku rujukan keliling pinggang walaupun tak baca tapi mesti ada..nak sedapkan hati. Buat latihan bagaikan nak rak tapi akhirnya masih dengan keputusan yang sama. Ada setengah orang kata, apa barang! Kenapa mereka yang study lebih daripada orang lain keluar result ciput-ciput je. Orang lain, belajar sikit je..keluar result, 4-flat. Meletup!..Itulah rezeki namanya. Namun harus juga kita melihat pada sudut yang lain. “Adakah hubunganku dengan Allah terjaga?” Di sinilah persoalan tentang solat bermula.

Solat sebagai pengukur hubungan dengan Allah

Mari kita ukur diri kita dengan solat. Apabila kita solat tanpa memikirkan segala sesuatu selain Allah, maka berbahagialah. Tetapi, jika tidak sedemikian, maka tangisilah dirimu setiap kali menuju solat. Hanya kepadaMu kami beribadah dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan,” ayat ke 5 dari surah al-fatihah ini jelas menyatakan hanya Allah Yang Maha Esa sahaja yang disembah dan kepadaNya kita mohon pertolongan. Kita menginginkan sesuatu pun kita mohon pertolongan Allah dengan berdoa. Mari kita bermuhasabah diri..Sebanyak 17 kali kita ulang al-fatihah ini dalam sehari, 5 kali sehari semalam kita solat tetapi khusyukkah solat kita atau hanya sah solat semata-mata? Kita nak kan yang terbaik untuk diri kita-kesihatan,kejayaan, kekayaan,dan segala bentuk kesenangan tapi kita tidak memberi yang terbaik kepada Allah dalam solat kita. Fikiran kita melayang memikirkan hal-hal lain. Bagaimana keredhaan Allah dapat dicapai kalau ini sikap yang ditunjukkan dari seorang hamba kepada penciptaNya.

Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah, maka hendaklah ia perhatikan bagaimana solatnya, adakah dikerjakan dengan tenang dan khusyuk atau dengan tergesa-gesa dan lalai. Jika solat tersebut ternyata dilaksanakan dengan lalai dan tergesa-gesa, maka taburlah pasir ke wajahmu ( sesalilah hal tersebut dengan penuh penyesalan).

Selepas solat dia tidak sepatutnya tergesa-gesa untuk meninggalkan tempat solatnya. Akan tetapi hendaklah dia berzikir kepada Allah SWT dan beristighfar memohon ampun kepadaNya atas segala kekurangan yang dia lakukan di dalam solatnya.

Berapa banyak solat yang tidak layak diterima Allah, tetapi setelah kita beristighfar memohon ampun kepadaNya atas solat tersebut Allah kemudian akan menerimanya. Sesungguhnya Allah memberi pengampunan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Oleh itu wahai sahabat, marilah kita memperbaiki solat kita. Insya-Allah segala urusan akan dipermudahkan olehNya. Mudah-mudahan apa yang kita hajatkan akan dikabulkan. Bersamalah kita mencapai keredhaanNya.

Hubungan sesama manusia

Hubungan dengan manusia pun penting juga untuk mengukur sejauh mana keberkatan hidup kita sebagai seorang pelajar di Matrik ini. Sebagai contoh, hubungan kita sebagai pelajar dengan para pendidik kita disini (KML), hubungan dengan sahabat seperjuangan, hubungan dengan roommate , hubungan dengan makcik kafe c dan yang sama waktu dengannya.

Banyak kita terlepas pandang tentang hal nie, mungkin sebab sibuk belajar ataupun langsung tak kisah tentang hubungan sesama kita. Terutamanya hubungan dengan para pendidik di sini. Contoh perkara yang sinonim dengan kita ialah ponteng kuliah dan kelas tutorial. Sekali sahaja ponteng dengan niat, kita telah pun merusak hubungan dengan lecturer yang mengajar. Bukan itu sahaja, kita pun terlepas pandang dengan benda yang paling bernilai dalam menuntut ilmu iaitu keberkatan.

Teringat sedikit kata-kata seorang lecturer kimia yang mengajar tutor saya, katanya, “ini semua bukan sebab dapat ilmu banyak ataupun sedikit, tapi sebab untuk dapatkan keberkatan ilmu dari pendidik itu...” lebih kurang maksudnya. Ini menunjukkan hadir kelas merupakan rasa hormat kita kepada lecturer yang mengajar untuk mendapatkan ilmu yang berkat. Inilah pentingnya kita sebagai murid yang fakir dengan ilmu harus menjaga hubungan dengan para pendidik kita. Mungkin salah satu sebab kenapa usaha kita tidak membuahkan hasil kerana perkara begini kita terlepas pandang. Oleh itu, sebelum melangkah ke dewan peperiksaan nanti jangan lupa minta maaf dan keberkatan ilmu yang dicurahkan kepada kita selama ini. Minta halalkan semua ilmu mereka. Keberkatan ilmu itu ada bersama para pendidik kita.

Jaga diri

Penjagaan diri amatlah penting bukan sahaja dalam KML ini, tapi dalam dunia ini juga. Ingatlah diri kita ini lebih mulia dari yang kita sangkakan sehingga makhluk Allah yang pun cemburu dengan kita. Sebab itulah kita perlu betul-betul jaga diri ini. Tetapi perkara ini pun kita terlepas pandang juga. Cuba perhatikan firman Allah SWT,

“ Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak perhatikan?”

(surah az-Zariyat 51:20-21)

Diri kita ini teramatlah mulia, zahirnya apa lagi batinnya. Tetapi apa yang terjadi, kita masukkan dengan benda-benda yang syubhat malah yang haram. Kenapa tidak usaha gigh yang kita lakukan tidak membuahkan hasil. Salah satu sebab doa kita tidak dimakbulkan adalah perkara sebegini yang berlaku. Tidak dinafikan ini yang berlaku ke atas kita apa lagi ketenatan sumber makanan halal di Labuan ini. Perkara inilah yang perlu kita mujahadah (berusaha bersungguh-sungguh) untuk mencari yang halal supaya dapat menjaga diri kita ini daripada benda-benda yang syubhat dan haram. Semua itu ada hikmah disebaliknya.

TIPS MENGURANGKAN STRESS

~ Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk


Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah
diselesaikan. Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan
mudah diingati.

~ Banyakkan Solat Sunat

Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai
solat sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan
daripada Allah.

~ Selalu berdoa kepada Allah

Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam, pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah, Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun, kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya tanpa usaha yang bersungguh sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.

~ Bersangka baik dengan Allah

Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya
jika terjadi sesuatu ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik kejadian itu.

~ Lakukan kegiatan luar seperti bersukan

Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan. Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan kukuh.

~ Amal diet dengan disiplin yang kuat

Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.

~ Hargai kebolehan diri sendiri

Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

Kesimpulan :
Sebagai kesimpulannya, sebagai pelajar, kita kena jaga hubungan dengan Allah SWT, sesama makhluk-Nya dan jaga hubungan dengan diri sendiri (sentiasa muhasabah diri). tekanan kerja bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya. Ingatlah, semua ujian yang berlaku ke atas kita adalah rahmat-Nya dan merupakan kasih sayang-Nya kepada kita. Jadikan semua itu sebagai batu loncatan untuk kita menggapai redha-Nya dunia akhirat.
...INSYAALLAH...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan