Selasa, 15 September 2020

Asah

Post kali ini serba ringkas, hanya untuk mengisi masa lapang. Belum ada isu yang terbaru untuk dihuraikan memandangkan fokus pada kerja, tidak sempat memikirkan dan mengulas itu semasa. 

Ini adalah post pertama menggunakan phone, selalunya kalau menulis blog akan guna laptop ataupun komputer disebabkan ada keyboard yang memudahkan untuk menaip. Perubahan masa dan generasi memerlukan kita mengadaptasi kemampuan teknologi kini. Dahulunya keboleh-upayaan phone agak terbatas dari segi kelajuan dan kapasiti, namun pada masa kini, handphone dilihat lebih laju, dan mampu melakukan kerja yang dilakukan oleh komputer itu sendiri.

Tidaklah seaktif dulu dalam menulis, namun untuk membentuk pemikiran lebih fokus dan berfikir, ada baiknya untuk saya meluangkan masa untuk menulis, sekurang-kurangnya masa dan akal digunakan dengan baik. Mungkin kita pernah mendengar perbezaan parang dengan otak, parang jika selalu digunakan ia menjadi tumpul dan perlu diasah, akal tidak seperti itu, jika selalu digunakan, akal sebaliknya menjadi semakin tajam.


Sentiasalah menajamkan akal fikiran, kesilapan kita adalah menganggap akan tajam sendirinya apabila usia meningkat, padahal akal memerulkan ‘asahan’ menjadikan ia tajam, iaitu dengan sentiasa menggunakannya untuk berfikir.

Maka sentiasalah berfikir menyelesaikan masalah, kerja ataupun idea.


Isnin, 8 Jun 2020

New-Normal

Post ini ditulis dek kerana kekosongan masa cuti PKP dua bulan ditambah dengan cuti hujung minggu dan Hari Keputraan Sultan Selangor, membawa saya kembali menulis di blog ini. Tahun 2020 nampaknya lebih singkat, 2 bulan PKP telah pun berlalu, esok belum tentu semuanya tamat. Apapun yang mendatang mestilah ditempuhi dengan penuh dinamik. Mungkin berlaku banyak perubahan, gaya hidup, pemikiran, dan personaliti perlu diubah berdasarkan keadaan semasa. Move-on dengan kehidupan yang lama. Jika hidup sentiasa statik, kita sudah tidak relevan. Oleh itu keadaan yang baru, ekonomi yang baru, suasana yang baru, memerlukan perubahan dalam diri kita untuk lebih terbuka dan terbiasa dengan new normal.

Perubahan bukan sesuatu yang mudah, meninggalkan sesuatu yang lama mungkin cukup nostalgik, ditambah pula menerima sesuatu yang baru,pastinya menjadikan kita janggal. Memang begitu sifat manusia. Apabila rasa sayang pada sesuatu sudah sebati dalam diri, mana mungkin semudah itu untuk dilupakan. Sedang rasa sayang masih ada, mana mungkin semudah itu menerima perkara baru. Begitulah sifat manusia.

Namun demikian, setelah fasa penerimaan berlalu, normal baru itu mudah diterima, sedikit demi sedikit menjadi dalam hidup kita. Begitulah sosiologi manusia. Kita tetap akan terpengaruh dengan persekitaran yang baru. Sekalipun jati diri cukup kuat, masa juga menetukan semuanya. Bila tiba masa berubahlah manusia mengikut persekitarannya.

New-normal, terimalah dengan hati terbuka, secepat mungkin. Kita harus pantas menerima perubahan untuk kekal relevan. #staysafe



Rabu, 5 September 2018

Kashmir

Latar Belakang, Geopolitik Kashmir.

Kashmir merupakan satu negeri dibawah kerajaan India. 95% penduduk Kashmir adalah beragama islam. Suasana, bahasa, budaya, budi pekerti penduduk di Kashmir lebih tinggi berbanding penduduk India yang lain. Menurut sejarahnya, Kashmir dulunya adalah sebuah negara, namun disebabkan berlaku gangguan ketentraan dari Pakistan yang mengancam keselamatan Kashmir, perdana menterinya ketika itu meminta perlindungan ketenteraan dari kerajaan India. Sejak dari itu, Kashmir menjadi sebahagian daripada India. Sehingga kini, tentera India sentiasa mengawasi setiap kawasan di Kashmir. 
Tentera yang berkawal

Menurut penduduk Kashmir, mereka mahukan kemerdekaan dari negara India, namun kekuatan ekonomi Kashmir terutamanya sektor penjanaan elektrik dan perlancongan, menyebabkan India enggan melepaskan Kashmir, bahkan menambah bilangan tentera di Kashmir dengan alasan ingin melindungi Kashmir daripada serangan luar. Serangan-serangan palsu sering dilakukan oleh tentera India disempadan Kashmir-Pakistan bagi memberi gambaran perlunya bantuan tentera dari kerajaan India diteruskan.


Tempat menarik di Kashmir.

Kashmir kebanyakkan kawasan tanah tinggi, dan ini menyebabkan keadaan suhu di Kashmir lebih rendah berbanding tempat-tempat lain di India. Oleh sebab itu juga, tempat yang menarik kebanyaakannya di tempat kawasan gunung dan tanah tinggi.

Sonamarg, Kashmir






Sonamarg adalah salah satu tempat yang menarik untuk dilawati, ketika musim salji, tempat ini tidak boleh di akses kerana jalan raya akan diliputi ais. Jika ingin merasai pengalaman mendaki gunung menaiki kuda, 200 rupee sahaja sudah cukup untuk anda merasai pengalaman tersebut untuk tempoh 4 jam. Apa yang menariknya adalah, kuda yang dinaiki adalah kuda liar yang dilatih. Sepanjang pendakian gunung menggunakan kuda, kita akan melihat banyak kuda liar yang berkeliaran dan tiada pemilik. Kuda tersebut juga dilatih untuk melakukan beberapa aksi 'thrill', terdapat satu kawasan landai yang dimana kuda tersebut dilatih untuk berlari laju, melalui jalan-jalan yang cerun dan berbatu menyebabkan tempoh 4 jam berkuda lebih mendebarkan.


Floating Market






Floating Market tempat penduduk tempatan menjual barangan dari dalam boat, orang tengah akan membeli dan disini seawal 5 pagi dan memasarkan barangan di pasar basah.

Untuk itineray kashmir, tunggu post yang seterusnya.


Ahad, 2 September 2018

Patterns

Setiap manusia dilahirkan dengan sifat yang berbeza-beza, keadan persekitaran pembesaran yang berbeza-beza menyebabkan setiap orang memiliki corak yang berlainan. Ada manusia yang selalu terlewat dalam semua perkara, ada manusia yang gagal menguruskan kewangan, ada yang sering gagal dalam perhubunganm ada pula yang selalu bernasib malang dalam semua perkara.

Berita baiknya adalah corak tersebut boleh diubah. Ia bukan sesuatu yang kekal selama-lamanya. Oleh itu ubahlah corak hidup yang lebih baik. Pastikan hidup lebih terurus, selalu datang awal, menyiapkan kerja lebih awal, merancang setiap hari-hari yang berlalu. Ubah corak hidup kepada yang lebih baik.
Sonamarg, Kashmir

Pain

Adakala kita jatuh tersungkur, ada kalanya kita bersedih, adakalanya kita merasa kesakitan. Lalu kita merungut dengan kehidupan, segala kata-kata kesat dilempar terhadap diri sendiri, sehingga tidak menghargai diri sendiri, padahal empunya diri sudah berusaha berpuluh tahun untuk berada dalam keadan sekarang. 

Ya memang lumrah kehidupan begitu, ada yang pergi, ada yang hilang, ada cita-cita yang tidak dapat dikecapi. Kerana keinginan terlalu tinggi, pada masa yang sama keinginan tersebut jauh dari realiti. Semua ini membawa kita kepada rasa sedih, kecewa, menyesali hidup dan sebagainya. 

Bukanlah bermaksud menghalangcita-cita yang tinggi, cuma perlu memahami sekalipun kita gagal mencapai cita-cita, perjalanan sepanjang mengejar cita-cita itu pasti sangat bernilai. Oleh yang demikian teruskan bercita-cita, namun seandainya tidak tercapai, hargai pemkembangan hidup sepanjang mengejar cita-cita tersebut.

Tanpa kita sedari, kita seringkali menyangkakan bahawa kesakitan hidup itu adalah bencana kehidupan. Jarang sekali kita mensyukuri atas kesakitan yang kita rasai. Banyangkan jika rasa sakit itu tidak wujud, jari terluka, hilang kaki, putus tangan semua tidak disedari. Dengan kesakitan barulah kita tahu jari kita luka. Dapatlah kita merawat dengan pantas. 

Begitulah dalam kehidupan, jika kita tidak merasa sakit, pasti kita tidak tahu nilai sesuatu yang hilang. Dari kesakitan kita belajar membetulkan apa yang silap dalam hidup. Seringkali kesakitan ini menyedarkan kita bahawa tentang jalan hidup yang sebenar yang kita mahukan.

Sonamarg, Kashmir.

Khamis, 24 Mei 2018

Pendidikan dan Sikap

Sistem pendidikan sekarang boleh memberi ilmu, tapi tidak mampu membentuk perosnaliti ataupun character. Zaman media sosial kini telah memperlihatkan sosial bentuk baru, mungkin diluar personalitinya lain, di media sosial personalitinya lain. Faktor luar yang mempengaruhi kegagalan personaliti seorang yang berilmu.

Mencari ilmu mudah, ia ada dimana-mana, lebih-lebih lagi di zaman teknologi serba canggih, kita lebih mudah terdedah dengan ilmu. Namun membentuk character itu jauh lebih susah, kerana ia sesuatu natural habit yang sukar untuk diubah dan dibentuk. Jika kita ingin memahami satu perkara, kita memerlukan masa beberapa jam untuk memahaminya, namun untuk membentuk personaliti, kita perlukan sekurang kurangnya 40 hari.

Bad habit dies hard. Sikap yang buruk itu sukar untuk dihilangkan, oleh itu amalkan sikap yang baik, jangan biasakan diri dengan sikap yang tidak baik. Kerana apabila ia menjadi personaliti, susah untuk  menghilangkannya.

Salam Ramadhan 
7 Ramadhan

Ahad, 20 Mei 2018

Masa depan

Gambaran masa depan kehidupan boleh digambarkan dengan cara hidup yang sekarang. Sekiranya kita merancang kehidpun yang sekarang dengan baik, maka kehidupan masa depan juga akan baik, begitulah sebaliknya, jika kehidupan kita sekarang terukbang ambing, maka kehidupan akan datang mungkin akan terumbang ambing. Melainkan jika ad fenomena luar biasa yang boleh menjadikan hukum kehidupan kehidupan berubah dari yang sepatutnya. Barangkali ramai yang tidak menerima hakikat ini, ya, kita tidak boleh meramal masa akan datang, kita tidak akan boleh meramal apa yang akan berlaku, untung rugi kehidpan juga tidak siapa yang tahu. Tapi jika dilihat orang yang berjaya, lihat waktu mudanya, maka kita akan dapat memahami situasi ini.

Jika anda melihat diri anda berjaya dalam perhubungan pada masa yang sekarang, maka anda juga akan berjaya dalam perhubungan dimasa yang akan datang. Begitulah dalam aspek kewangan, gaya hidup, kesihatan, disiplin semuanya digambarkan oleh keadaan yang sekarang. Jika semuanya baik, maka baiklah kehidupan anda pada masa akan datang. Apa pun dalam semua aspek, perhubungan adalah yang paling ditekankan, kerana jika anda berjaya dalam perhubungan, anda berpotensi untuk berjaya dalam semuanya. Dalam perhubungan, sebaiknya kita melayan semua orang seolah-olah semua orang adalah orang penting, dan dengan itu kita membina perhubungan yang baik dengnan semua orang. Namun, itu bukan jaminan, jaminan sebenar adalah keseimbangan dalam hidup, iaitu berjaya dalam semua aspek kehidupan. 

Apapun yang ingin dibincangkan adalah bagaimana membentuk masa depan yang berjaya. Pembentukan sebenarnya bermula dari kecil lagi, sejak lahir perlu diajar untuk bekerja keras, berfikir dan  berdisiplin dengan sifat-sifat manusiawi. Ingat, seorang pemimpim itu dibentuk, bukan dilahirkan, begitulah manusia yang berjaya, ia dibentuk bukan dilahirkan. Lalu bagaimana membentuk dari kecil? Apabila seorang anak dididik dengan bekerja keras, ditanya soalan soalan yang membantunya untuk berfikir, diajar untuk saling menyayangi pasti akan menjadikan nya seorang yang kuat bekerja, rajin berfikir dan bijaksana, dan hormat menghormati orang lain dan menjadikan nya seorang manusia. Maka terhasil lah ‘fundamental’ yang kukuh untuk menjadikannya seorang yang berjaya. Lalu permulaan yang baik adalah pecutan awal untuk berjaya dari awal. Begitulah pentingnya pembentukan awal kita.

Namun begitu, adakah tiada harapan yang masa kecil nya sudah berlalu tanpa ada asas character yang kuat? Ya, kita ada masa yang sekarang, masa lalu sudah pun berlalu. Barangkali kita sudah terlambat, namun apa yang lebih malang kita tidak menggunakan masa yang sekarang dengan baik, lalu nasib yang malang itu berterusan hingga habis hayat hidup. Masa yang sekarang juga menggabarkan hidup masa akan datang. Jika masa yang sekarang hidup tidak berjaya, adakah masih ingin menyalahkan takdir? Semuanya itu tidak memberi sebarang hasil melainkan membuat perubahan hidup sekarang juga.

Berbezaan orang yang berjaya dan gagal hanya satu; ‘action’. Ramai orang yang berjaya kerana tiada tindakan, atau mengguhkan tindakan. Sebanyak mana kita merancang jika tiada tindakan pastinya akan jadi angan-angan sahaja.

Apapun yang tinggal hanyalah masa yang sekarang, gunakan sebaiknya, dengan tindakan yang pantas, dengan kecekalan, pastinya masa depan lebih baik. Merancang kehidupan itu bukan untuk sehari dua, tetapi sampai ke anak cucu. Usia tidaklah panjang. Ia harus digunakan dengan baik.

Isnin, 14 Mei 2018

Matlamat dan Mindset

Ada yang hidup hanya bernafas, nadinya berdenyut, darahmya juga mengalir, dan jantungnya juga berdegup. Namun yang dirasakan nya hidupnya mati tidak bergerak. Dirasakan nya hidup seperti tiada tujuan hanya menunggu mati, menunggu nadi tidak berdenyut lagi, menunggu jantung tidak berdegup lagi.

Ada yang menjalani kehidupan hanya melului rutin-rutin harian. Membawa kehidupan yang ala kadar sahaja, seolah-olah tidak mahu meneroka dunia yang lebih luas. Pada hal Gunung ganang itu lebih tinggi, langit itu cukup luas, lautan itu sangat dalam. Semuanya harus diterokai dengan kerja keras dan semangat hidup.

Lalu apa matlamat hidup? Dikepelbagaian pembawaan hidup manusia, pastinya membawa haluan hidup masing-masing yang berlainan. Matlamatnya juga berlainan, matlamat inilah yang membezakan tinggi mana guung didaki, seluas mana awan diterokai, sedalam mana laut diselami.

Ada yang mahukan hidup sederhana, asa yang mahu hidup diphncak. Hakikatnya semua bergantung kepada kecekalan hidup, sikap menghadap kehidupan adalahperbezaan sebenar pencapaian hidup.

Melihat kepada sosok yang berjaya, setiap apa yang dilakukan bermula dengan matlamat, kemudian difikirkannya jalan satu persatu untuk mencapai matlamat tersebut. Bagi minda yang lemah, seringkali matlmatnya berubah, kadangkala menyerah. Padahal semunya dari minda, perjalanan hidup lebih mudah dengan keyakianan mindset yang betul dan bermatlmat.

Rabu, 23 November 2016

Usia Muda

Ketika usia muda, pilihlah jalan yang paling sukar, kerana setiap kesukaran itu memberi pengajaran kepada kita. Biasakan diri ketika usia masih muda dengan hidup penuh cabaran, agar ia menjadi kebanggaan dihari tua kita. Jangan biasakan hidup bersenang lenang, bimbang kalau-kalau kita tua terlalu cepat. Tanda seseorang itu menjadi tua bukan pada usianya, tetapi tua apabila sudah tidak kuat menghadapi kehidupan, mudah mengalah dengan cabaran yang mendatang.

Ketika usia masih muda, berlajarlah tanpa henti, tingkatkan kemahiran diri, sentiasa mahukan lebih dari kemampuan, buatlah lebih daripada yang terbaik. Kerana apabila kita sudah terbiasa melakukan yang terbaik. Barulah kita merasa yg terbaik daripada kita hanyalah biasa-biasa sahaja. Sehingga kita melakukan lebih daripada yang terbaik, barulah kita sedikit kehadapan daripada yang lain. Zaman muda adalah fasa mengasingkan siapakah yang lebih kuat semangat juangnya, ketika sedang berada dipuncak kehidupan masihkah kuat untuk mendaki puncak yg tidak diketahui ketinggiannya, ataupun sudah memadai dengan puncak hidup yang sekarang.

Ketika zaman muda, berhati-hatilah bermain cinta. Benar ada cinta yang membawa ke syurga, ada cinta yang memberi kekuatan. Tapi ada cinta yang melemahkan jiwa. Sia-sia hidup jika hanya memikirkan soal cinta, sia-sia tenaga muda jika digunakan untuk mengejar cinta manusia. Padahal tenaga muda itu boleh mencipta seribu kejayaan. Cuma bagaimana untuk mengawal naluri muda sedemikian? Berdoalah kepada tuhan. bukan untuk menafikan cinta, tetapi supaya tenaga, masa, akal ketika muda digunakan sepenuhnya dengan baik. Tempoh zaman muda tidaklah terlalu panjang, jadi gunakanlah dengan sebaik mungkin.

Pesanan pada diri. Moga kuat menjalani hari-hari yg bakal sukar.

Sabtu, 19 Mac 2016

Kekasih Awal dan Akhir

Penat mengejar cinta, rupanya cinta milik tuhan. Terlalu banyak perkara yang indah  dibumi ini untuk dicintai, sehingga terlupa ia bukan milik kita, bahkan tidak pernah menjadi milik kita.  Kadang-kadang kita terlalu banyak yang berimpian, mengejar kesempurnaan hidup dan mencari kekayaan. Rupanya cinta dunia tidak pernah cukup. Ada perkara yang hanya mampu didengari, tidak mampu dinikmati. Ada lukisan yang cukup indah hanya mampu dilihat, tapi tidak mampu disentuh. Ada insan yang sangat di cintai, tapi tidak mampu dimiliki.

Sehingga satu masa kita hilang sedikit dari yang kita miliki. Barulah sedar dari leka yang panjang. Baru tersentap dari lamunan maya. Barulah sedar bahawa nikmat bertuhan lebih cukup dari segalanya.  Apabila tidak disyukuri nikmat Tuhan, terasa serba kekurangan. Padahal hidup sudah separuh jalan, sudah banyak kurniaan Tuhan diberikan, sudah banyak pencapaian hidup diperolehi. Namun tidak pernah disyukuri. Barangkali demikianlah cinta, terlalu tamak dan rakus, tidak pernah cukup, sentiasa dahaga dan mahukan lebih dari itu. Kembalilah kepada Tuhan, Kekasih Awal dan Akhir.


Dataran Bandung, 2015

Sabtu, 1 November 2014

40 hari mencari diri

Pakar motivasi mengatakan bahawa kita memerlukan selama 40 hari untuk merubah personaliti, ataupun untuk membangunkan tabiat yang baik dalam diri. Namun jika dirujuk pakar psikologi barat seperti Pia Mellody, kita memerlukan 'treatment' sekurang-kurangnya selama 5 tahun. Apapun nilai itu hanya saya anggap sebagai angka, kemungkinan pakar motivasi hanya menggunakan angka yang ringan iaitu selama 40 hari bagi menggambarkan bahawa untuk berubah itu sangat mudah. Banyangkan jika ahli motivasi mengatakan bahawa untuk berubah memerlukan 5 tahun, pasti ramai yang akan mengeluh dan tidak mahu berubah.

Perubahan memerlukan pengorbanan. Pasti ada suara-suara sumbang yang memperlekehkan usaha kita untuk berubah. Perubahan juga memerlukan kita untuk berdiri sendiri tanpa sokongan orang lain jika duduk dalam kelompok yang tidak mahu berubah. Oleh itu abaikanlah suara-suara sumbang, dengarlah suara hati. Kerana suara hati yang terbaik untuk diri.



sumber: google

Sabtu, 30 Ogos 2014

Merdeka Seribu Satu Erti

Malam ni merupakan 'Malam Maksiat' yang disambut oleh rakyat Malaysia diseluruh pelusuk tanah air. 57 tahun kita merdeka, saban tahun kita dididik dengan sambutan maksiat pada malam 31 Ogos. Apakah makna merdeka yang sebenar? Bagaimana cara penghayatan yang harus dilakukan?Adakah dengan berpegangan tangan dengan yang bukan mahram, ataupun berhimpun untuk bergembira sambil membonceng yang bukan mahram, ataupun berhibur dengan pesta muda-mudi yang diadakan diseluruh pelusuk negara?

Tidak! Ia bukan sekadar itu, kemerdekaan memerlukan penghayatan yang mendalam dengan perasaan cinta akan negara. Mengibarkan bendera setinggi langit, melaungkan laungan kemerdekaan, itu semua hanyalah simbol kemerdekaan. Yang lebih penting daripada simbol itu adalah semangat perjuangan kita untuk terus bebas dari segenap sudut kehidpan. Sudah tiba masanya selepas tempoh matang negara kita Malaysia perlu bebas dari segala bentuk jajahan.

Malaysia harus berdiri sendiri untuk lebih gah di mata dunia, identiti kita perlu diperkasakan, biarlah adab kita selaku negara islam diketengahkan, jangan biarkan hiburan yang melampau terus menjajah minda anak muda.

Kita harus berani dalam menyampaikan mesej kemanan, adakah kita bangga negara kita merdeka sedangkan kita membiarkan saudara seislam kita terbiar dan tertindas di seluruh duania? Sampai  bila umat islam di Rohingya akan ditindas. Sampai bila kita mahu kekejaman Zionis terhadap penduduk Palestin ter berlaku. Begitu juga nasib sunni di Syria, umat Islam di selantan Thai. Ini satu amanah dan tanggungjawab setiap manusia khususnya warganegara Malaysia yang sudah dikurniakan kelebihan, kita ada ruang untuk bersuara, kita harus sedar walaupun mereka bukan dari bangsa kita, tapi mereka juga manusia seperti kita, ada keluarga, ada hati dan perasaan.

Dalam dunia yang penuh carabaran ini sedar ataupun tidak kita bakal mengadapi perperangan yang bukan lagi berbentuk senjata api, tetapi berbentuk ekonomi, penyakit berjangkit(biological weapon), budaya dan banyak lagi. Oleh hal yang demikian, anak-anak muda harus dipersiapkkan dengan kelengkapan yang secukupnya dalam menentang serangan ini. Minda anak muda harus diperkuatkan dengan ilmu pengetahuan untuk memajukan negara dalam pelbagai sektor dalam negara dan kepakaran dalam ekonomi agar ekonomi negara tidak sewenang-wenangnya diperkotak-katikkan oleh orang luar. Begitu juga kepakaran-kepakaran lain seperti dunia kedotoran, negara-negara yang lemah sering diancam oleh 'biological weapon' melalui penyakit berjangkit. Senjata ini boleh memusnahkan sesebuah negara tanpa menggunakan peluru berpandu ataupun apa sahaja senjata api. Demikian juga dunia globalisasi kini telah membawa masuk senjata budaya, anak-anak muda kini sudah tiada wawasan dan aspirasi, dididik dengan budaya hedonisme iaitu budaya hiburan yang melampau, sehingga maksiat berleluasa. Inilah senajata  yang mempu membunuh negara secara perlahan-lahan dan akhirnya merdeka hanya tinggal laungan, negara pula tergadai dan sendiri menjadi papa kedana.

Selamat Hari Kemerdekaan yang ke 57, merdeka minda, budaya, ekonomi, dan merdeka identiti.


Rabu, 13 Ogos 2014

Noktah akhir

Dimanakah penghujungnya? Seharian berjuang, penatnya masih bersisa, esok pula mengharungi hari yang baru. Seminggu berjuang, penat terasa, minggu yang baru pula akan muncul. Demikianlah bulan dan tahun juga berputar. Tidak ada titik hentinya kehidupan kita. Yang hidup terus berjalan, ajal tiba berehatlah kita.


Selasa, 12 Ogos 2014

Lelaki

Tidak semua lelaki itu sama, tetapi setiap lelaki itu ada persamaan. Boleh jadi tulisan ini mewakili kesemua sifat lelaki, boleh jadi hanya sebahagian daripada lelaki. Hanya sebagai permerhati dari salah satu sudut ruang kehidupan :)

Lelaki itu diciptakan dengan kekuatan fizikal, bahkan juga kekuatan hati. Diberikan kepadanya beban yang berat, akan didiamkan kepenatan dan kepayahan yang dilalui dengan seribu bahasa. Lumrahnya seorang yang diberi amanah untuk menyuburkan kehidupan keluarga ketika di dunia dan menyelamatkan saudara perempuannya daripada api neraka diakhirat kela. Seharusnya, seorang yang sentiasa diberi mandat kepercayaan untuk memimpin harus nampak tenang dipermukaan. Menerima seberapa banyak bebanan masalah, tetap tersembunyi oleh ekspresi muka.

Bila lelaki sedang diam, seringkali perempuan mentafsirkan bahawa lelaki itu sedang marah. Sebenarnya, ia bukan begitu, lelaki akan diam untuk menyelesaikan masalah. Diam bermaksud dia sedang berfikir dan memang lelaki akan membuat keputusan itu dengan diam, berfikir dan akhirnya membuat keputusan bukan berdasarkan emosi. Lelaki secara lumrahnya juga lebih tenang. Lumrah seorang pemimpin untuk menjadi orang paling tenang diantara yang paling tenang. Saat paling getir sekalipun masih mampu mengawal segenap emosi. Boleh membuat keputusan dengan lebih baik ketika seluruh dunia sudah mula mengecam. Di situ nilainya kelayakan sebagai pemimpin.

Ya, tidak mungkin lelaki terlalu sempurna. Pasti ada sebab mengapa Allah swt melengkapkan Nabi Adam a.s dengan Hawa.

Corak berfikir lelaki terlalu lurus dan besar. Tidak memikirkan soal-soal picisan yang boleh membantutkan keputusan dan hanya berdasarkan logik akal. Dia merancang untuk membina satu bangunan yang tinggi, megah dan indah, tanpa memikirkan bahawa semakin gah bangunan itu jika roboh akan lebih menyakitkan. Semakin gah bangunan itu, semakin banyak dugaan yang perlu dihadapi sedangkan mereka tidak bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan. Lalu tidak lama selepas itu bangunan pun roboh. Bangunan yg dahulunya tinggi dan megah sangat jelas kelihatan oleh orang sekeliling kini hilang dari pandangan mata. sebab itulah Allah swt menciptakan hawa untuk melengkapi kehidupan adam. Hawa diciptakan lebih teliti dalam banyak perkara, boleh melihat lebih jelas kebarangkalian yang mungkin berlaku dalam kehidupan.

gambar hiasan
sumber: twitter

Isnin, 11 Ogos 2014

Menjejak Bahagia

Adapun cinta yang tidak menyakitkan hanya pada Allah swt. Cinta seringkali memberi kesakitan berbanding kebahagiaan. Cuma tanpa cinta, pasti tiada kebahagiaan. Lantas ramai yang memilih untuk menempuh kesakitan itu sekalipun dengan tulang berlulang demi secebis bahagia.

hiasan
sumber gambar: sini

Rabu, 6 Ogos 2014

Syawal satu persinggahan

Belum terlambat rasanya untuk mengucapkan selamat hari raya kepada semua, apapun hari raya hanya persinggahan, kegembiraannya pasti menjadi kenanagan terindah buat kita sebagai bekalan sehingga setahun yang akan datang dan pastinya kita mengharapkan kegembiraan ini bukanlah kali yg terakhir. Kita mengharapkan agar dipertemukan lagi ramadhan yg akan datang dan seterusnya akan kembali merasai kemeriahan aidilfitri. Bagi saya sendiri hari raya adalah satu-satunya hari yang menyatukan seluruh ahli keluarga untuk bertemu dirumah, tidak ada jarak yg boleh memisahkan kami sekeluarga pada hari raya, sejauh manapun berada tetap akan kembali ke kampung halaman.

Bagi seluruh umat islam di dunia, kita mengharapkan pada Hari Raya Aidilfitri yg akan datang tiada lagi keganasan, pembunuhan, pertelingkahan. Kita harapkan Gaza tidak lagi berdarah, nasib umat islam di Somalia diberi perhatian, hak umat islam di Rohingya diperjuangkan, sunni di Syiria tidak lagi dizalimi. Ketamakan dan kebobrokan berkuasa hanya akan menzalimi golongan yg lemah jika dibiarkan berleluasa. Saya yakin dan percaya keganasan tidak pernah membahagiakan, yang memberi kebahagian adalah keadilan, bumi harus ditadbir dengan kesamarataan tanpa mengambil hak orang lain. Masing-masing boleh berbangga dengan hak sendiri, boleh mempertahankan hak sendiri, tetapi jangan sampai mencabuli hak orang lain. 

Selamat Hari Raya Aidlfiti seluruh umat islam. 
9 Syawal 1435

Aku lampirkan bersama gambar ini sebagai kenangan. Maaf aku tak pandai nak ber'selfie', so tak banyak gambar yg dapat di'upload'.

The Heroes 

Jumaat, 4 Julai 2014

Ramadhan ini

Aku mencari kemeriahan ramadhan yang dulunya ku rasakan syahdu saat kedatangannya. Aku cuba merendahkan hati disisi Allah swt agar mendapat rahmat, keampunan dan pembebasan dari api neraka. Aku juga merindui zaman berpuasa dinegara Brunei Darussalam, dimana seluruh dari lapisan masyarakat juga pemimpinnya berlumba-lumba untuk beribadah kepada Allah swt. Meriahnya suasana ramadhan pada ketika itu mampu membalut hati dengan rasa kehambaan kepada Tuhan.

Sungguh suasana berbeza, lalu aku harus menerima ramadhan yang ini dengan kekentalan hati, untuk aku mencari kemuliaan ramdhan dalam suasana yang lebih mencabar. Aku mengambil iktibar bahawa kemeriahan ramadhan hanya akan dirasai dengan menghayati ramadhan dengan penuh keinsafan dalam diri.

gambar hiasan
sumber: twitter

Selasa, 24 Jun 2014

Berfikir seadanya

Pemikiran manusia berbeza-beza, tapi yang mudahnya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu berfikir secara positif, ataupun berfikir secara negatif. Memang ada golongan yang sentiasa memikirkan semua perkara berlaku adalah negatif, apa sahaja keputusan orang lain, kejadian yang menimpa dirinya, dan apa orang lain lakukan adalah sesuatu yang buruk. Ada pula golongan yang terlalu berfikir positif, hanya berserah kepada takidir semata-mata, lalu dia pun langsung tidak berusaha melawan takdir, baginya pula melawan takdir itu satu negatif, bahkan dianggap kufur nikmat, iaitu tidak bersyukur dengan apa yang ada, lalu jalan hidupnya langsung tidak meningkat. 10 tahun berlalu hidupnya tetap seperti yang dulu hasil daripada terlalu positif dengan kehidupan.

Jika seekor cicak diberi nama Dato Sri Najib, maka orang yang negetif akan mengatakan bahawa ia adalah satu penghinaan kepada Dato Sri Najib!! Mana mungkin seekor haiwan yang hina diberi nama sama dengan perrdana menteri Malaysia. Tapi bila ditanyakan kepada orang yang positif, ia adalah suatu penghormatan kepada cicak tersebut kerana diberi nama sama dengan perdana menteri. Satu situasi yang sama diberikan kepada 2 jenis pemikir, tetapi tanggapan yang lain dikeluarkan oleh kedua-dua pihak tersebut.

Begitulah hasil manusia yang berbeza-beza, boleh jadi kesenangan menjadikan mereka negatif, dan boleh jadi kesenangan menjadikan mereka positif. Begitu juga sebaliknya. Dan kebanyakkannya orang sekelilinglah yang lebih banyak mempengaruhi corak kita berfikir. Terpulanglah kepada kita untuk memilih tindak-balas terhadap sesuatu. Belajarlah besederhanya dalam kehidupan, jangan terlaku positif dalam kehidupan, kelak akan jatuh pula martabat menjadi dungu. Jangan pula menjadi terlalu negatif dalam kehidupan, kelak akan menjadi watak antagonis di dunia.

gambar hiasan
sumber gambar: FB

Hikmah

Nilai hidup hanya akan dirasai setelah melalui kesusahan, begitu erti hidup yang hanya akan difahami setelah melalui kepayahan. Takkan terasa kemanisan hidup andai tidak dilambung gelora. Oleh itu jangan sesekali kita berduka akan perit jerih kehidupan. Kerana demikian itulah titik mula untuk merasai sesuatu nikmat yang lebih bernilai. Percayalah pada hikmah illahi. Hikmah-Nya dalam merancang perjalanan hidup manusia lebih indah daripada apa yang kita inginkan.

Jangan prasangksa pada kehidupan. Jalur pelangi nampak keindahannya bukan hanya kerana warnanya yang beza, bahkan kerana melalui hujan dan panas sebelum terpancar dilangit. Berfikirlah dengan penuh hikmah. Pandanglah alam ini dengan mata hati agar kita nampak bukan sekadar yang zahir dimata, tapi juga yang ada tersirat di hati.



gambar hiasan
sumber gambar: twitter

Isnin, 23 Jun 2014

Titik pertemuan

Seringkali terjadi orang merasakan mereka berilmu mengganggap mereka sentiasa benar lalu mereka menghentam sesetengah golongan, dalam masa yang sama terjadi juga golongan yang tidak tahu mereka itu berada ditempat yang salah, lalu mereka berkeyakinan bahawa mereka berada ditempat yang benar, maka tidak dihiraukan setiap hentaman daripada golongan yang lebih berilmu. Maka hari ini saya mahu utarakan sedikit ke-songsang-an dalam corak fikir beberapa pihak khususnya dalam mengendalikan percanggahan pandangan. Harus diingatkan percanggahan pendapat ini bukan untuk perkara-perkara yang dasar, tetapi perkara cabang yang dibolehkan untuk berbeza pandangan.

Selalu terjadi percanggahan pendapat dalam apa jua situasi, sama ada berbeza pandangan politik, hukum-hakam agama, pembawaan ideologi dsb. Bahkan perbezaan pandangan ini merupakan perkara yang sentiasa akan ada melainkan perkara-perkara dasar. Lalu apa yang harus kita lakukan? Adakah kita perlu berbangga pada kedudukan kita?Adakah perlu kita merasakan diri kita sentiasa benar?Adakah perlu kita memburuk-burukkan identiti pihak lain?

Kita seharusnya boleh berbangga dengan apa sahaja pembawaan kita, boleh juga memperjuangkan padangan kita bahawa pendapat kita adalah yang paling benar asalkan masih berada pada landasan ilmu. Cuma apa yang kita tidak boleh lakukan adalah menghina dan menganggap pandangan orang lain adalah bodoh semuanya. Harus kita fahami bahawa jawapan mereka itu adalah melalui kefahaman mereka. Bukan kerana mereka kurang faham, bahkan mereka lebih faham tetapi dalam  aspek dan pandangan yang sedikit berbeza. 

Fatwa gelatin babi yang dikatakan halal oleh Syeikh Yusuf al-Qardhawi disanggah oleh Ust Kazim Elias. Jadi apakah perlu kita mengatakan salah seorang daripada mereka bodoh kerana bercanggah pendapat? Seharusnya kita bersifat lebih terbuka dan lebih murni dalam mendengar pendapat yang pelbagai. Umat islam khususnya berfikir secara lebih bulat, dalam erti kata lain melihat daripada pelbagai perspektif yang lebih variasi. 

Kita harus memahami pasti akan ada golongan yang memberi fatwa yang keras terhadap sesuatu isu. Kerasnya sesuatu fatwa isu adalah berdasarkan situasi yang dilalui oleh golongan tersebut. Sebagai contoh isu azan subuh. Ketika ada pihak yang membenarkan azan subuh untuk tidak dilaungkan secara kuat, akan ada juga pihak yang mewajibkan azan subuh dilaungkan secara kuat. Di negara Arab khususnya mereka mempunyai penduduk islam sebanyak 95 peratus. Maka bagi mereka melaungkan azan itu adalah sesuatu yang mustahak. Dan jangan pula diguakan fatwa begini ditempat yang umat islam tidak sampai 5 peratus. Inilah sebabnya setiap suatu perkara itu tidak akan sentiasa sama pandangannya kerana setiap individu diciptakan situasi yang berlainan.

Cuma yang menjadi masalah tentang perbezaan pandangan adalah jika ia terlalu kontra dan melanggar batas kefahaman antara dua pihak. Contohnya, apabila satu pihak mempertahankan Rasul dan para sabahat baginda, satu pihak yang lain pula memerangi golongan yang mempertahankan para sahabat. Ini percanggahan yang kontra yang tidak ada titik pertemuan.

Namun tetap ada jalan untuk menyelesaikan masalah ini, iaitu dengan kekal bersama prisip yang dipegang, sambil membiarkan percanggahan itu berlalu kepada pihak yang lain. Berdialog sudah cukup untuk mengutarakan pandangan kita, terpulang kepada penerimaan satu pihak lagi.

Kelemahan umat islam adalah mereka terlalu kasar memikirkan agama. Ada juga pihak yang terlalu melihat kepada perbezaan sedangakan islam tidak sebegitu. Bahkan islam lebih meraikan kepelbagaian pandangan, islam itu lebih indah dari apa yang kita bayangkan. Seharusnya kita lebih menumpukan kepada toleransi, mencari titik persamaan antara satu sama lain. Bagaimana untuk kita merasau kemanisan beragama itu jika kita tidak mahu hidup dengan kemurnian agama. Maka seharusnya golongan yang sudah kenal kemurnian dan kemanisan beragama perlu lebih lantang dalam menyuarakan pandangan, bukan membiarkan persilangan itu terus-menerus berlaku.

gambar hiasan
sumber: twitter